|
KHAZANAH DR. BURHANUDDIN AL-HELMY |
|
|
|
|
alhelmy |
FALSAFAH POLITIK BANGSA KEBANGSAAN DALAM ISLAM
Kebangsaan bukanlah suatu dasar atau matlamat dalam perjuangan orang-orang beragama Islam. Ianya hendaklah digunakan sebagai suatu lambang bagi mengerah dan menyatukan tenaga untuk mencapai sesuatu yang lebih ideal atau kekal. Menurut Dr. Burhanuddin:
“Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.”
Sikap beliau terhadap faham kebangsaan ini adalah jelas kerana beliau sedar akan kepentingannya. Ia juga merupakan suatu fitrah. Katanya:
" ....memang telah menjadi tabii atau tabiat semula jadi seseorang itu kasihkan dirinya sendiri lebih daripada kasih orang lain..., kasih suami kepada isteri, kasih kerabat tentu lebih daripada kasih orang yang tiada kena mengena dengannya. Maka demikian jualah kasih suatu bangsa itu tentu lebih kepada bangsanya sendiri menurut yang diterangkan oleh al-Qur'an itu". [FKM]
Soalnya:
“Jika suatu bangsa itu sudah tidak kasih kepada bangsanya sendiri, maka bolehkah bangsa lain yang akan diharap kasihkan dan membelakan bangsanya?....”
Hanya dalam perjuangan itu hendaklah ia tidak terhenti setakat memperjuangkan bangsa sendiri sahaja. Pendapat Dr. Burhanuddin ini zahir bertepatan dengan kenyataan beliau bahawa:
“Perutusan Muhammad bukan sahaja wajib disampaikan kepada bangsa Arab, malah kepada semua bangsa dalam dunia ini: Tidak Kami utus engkau itu hai Muhammad! melainkan adalah membawa rahmat ke segenap bangsa-bangsa atau kepada sekalian alam manusia”.
Di mana di tempat yang lain beliau mengutip pula ayat al-Qur'an ( al-Hujurat: ayat 13) ertinya: “Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak ialah supaya dapat kamu berkenal-kenalan bukan bermusuh-musuhan. Lebih tegas, ialah faham dan rasa kebangsaan yang membawa kepada rasa kemanusiaan dan faham persaudaraan sedunia (internationalism)”. [Falsafah Kebangsaan Melayu] |
|
|
|
|
HBI HEALTH & HOMOEOPATHY CENTRE |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|