PEMANTAUAN KLINIKAL
d)
Refleksi
Refleksi
adalah salah satu item yang telah dimasukkan oleh Bahagian Pendidikian
dan Latihan Menengah MARA (BPLM) dalam Rancangan Pengajaran (Lesson
Plan) yang harus dicatat oleh guru-guru MRSM selepas berlakunya
pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru MRSM masih belum diberi
taklimat khusus berkaitan kaedah mencatat atau apa yang sepatutnya
dicatat di ruangan itu. Kadang-kadang dalam maklum balas pencerapanpun,
penjelasan tentang kepentingan refleksi tidak diberikan atau komennya
agak kabur.
Orang
pertama yang harus melakukan refleksi ini ialah guru. Justeru,
benarlah bahawa refleksi
(Reflection) ialah proses pemeriksaan kendiri dan penilaian
kendiri yang para
pendidik berkesan (effective educators) sentiasa terlibat demi
untuk menambah-baik amalan kerjaya profesional mereka. Dalam
memastikan pengajaran mereka berkesan, mereka melakukan empat perkara
berikut:
-
Mereka berfikir dengan teliti mengenai apa yang berlaku dalam
situasi tertentu.
-
Mereka mengenalpasti pilihan yang ada.
-
Mereka mengambilkira nilai-nilai mereka sebagai seorang profesional
dan tingkat keselesaan mereka dalam tindakan terhadap nilai-nilai.
-
Mereka juga membuat pilihan secara sedar mengenai bagaimana untuk
bertindak supaya dapat menunjukkan perbezaan.
(Reflection.
What is reflection?,,
viewed on 11 December 2010.
<http://webserver3.ascd.org/ossd/reflection.html> )
Dengan melakukan empat perkara di atas, para pendidik berkesan
dikatakan mengambil sikap reflektif. Dalam perkataan lain, mereka
memeriksa amalan mereka dan rakan-rakan mereka dengan teliti serta
hati-hati dengan tujuan meningkatkan kualiti dan keberkesanan
pengajaran mereka. Ini merupakan sesuatu yang harus dibuat kerana
mengajar adalah kerja hakiki mereka, terutama bagi menunjukkan atau
mempamerkan bahawa kerja mereka adalah profesional.
Antara aspek-aspek yang boleh di refleksikan ialah tentang (i)
perancangan, (ii) objektif pengajaran: apakah rasionalnya atau faktor
apakah yang menghalang pencapaian objektif pengajaran, (iii) sumber
pengajaran: apakah ia membantu pembelajaran, bagaimana dengan
sumber-sumber lain, (iv) isi pelajaran: adakah berkaitan dengan
objektif, adakah ia mengandungi unsur yang tidak penting, apakah
isinya mengambil kira sifat perbezaan individu murid, (v) strategi dan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran: apakah kaedah yang digunakan
berkesan, apa rasionalnya mengadakan aktiviti itu, apakah strategi
lain yang boleh meningkatkan pembelajaran, (vi) penerapan nilai:
apakah asas nilai-nilai murni yang dipilih, adakah ianya terkandung
dalam semua agama, Rukun Negara atau Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
mengapa nilai-nilai itu penting, (vii) kemahiran-kemahiran lain dalam
pengajaran: wajarkah penggunaan set induksi, penggunaan papan kapur,
kaedah tunjuk cara, bercerita dan lelainnya.
Jika kita
lihat kembali apa yang disebutkan oleh Alimuddin Md Dom, refleksi
merupakan satu keadaan yang berlaku secara serentak dengan peringkat
analisis. Ini bermakna ia bukan dilakukan oleh guru semata-mata. Namun,
gurulah orang pertama yang harus melakukannya. Tetapi refleksi itu
boleh dilakukan juga oleh pengetua atau penyelia. Ataupun pengetua
atau penyelia mengajak guru yang diselia tadi bersama-sama melakukan
refleksi apabila tiba masa perbincangan selepas pemantauan.
Apa yang
disebut oleh Alimuddin Md Dom juga bersamaan dengan huraian
langkah-langkah Cogan, iaitu refleksi menjadi asas bagi proses
menyemak semula pengajaran yang telah berlaku sewaktu pemantauan.
Tetapi pada peringkat analisis itu, hanya penyelia sahaja yang
melakukan sorotan kembali (flashback). Ia dilakukan supaya
strategi tertentu dapat dirancang untuk pertemuan sesi perbincangan
kemudian.
Apabila catatan refleksi dibuat dalam rancangan pelajaran (lesson
plan) sebagai amalan ataupun refleksi itu dikemukakan kembali oleh
penyelia secara flashback kemudiannya, ia sebenarnya membantu guru
itu:
-
Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan dalam pengajaran dan
pembelajaran.
-
Mengambil tindakan susulan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran
dan pembelajaran.
-
Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran perguruan.
-
Membentuk sikap individu guru supaya menjadikan refleksi sebagai
budaya kerja profesional keguruan.
Peri mustahaknya refleksi ini sehingga tokoh falsafah pendidikan, John
Dewey (1933) telah mengenalpasti bahawa refleksi yang dibuat terhadap
pengalaman-pengalaman kitalah yang membawa kepada pembelajaran – bukan
semata-mata pengalaman itu sendiri. Kita belajar daripada
pengalaman-pengalaman yang dilalui apabila kita merenung,
berfikir-fikir, kita jelajah, kita kaji semula dan kita persoalkan.
Justeru, kita boleh simpulkan bahawa refleksi kritikal (Critical
reflection) merupakan aspek penting dalam pengajaran dan
pembelajaran.
(Reflection., What
is reflection?, viewed on 11 December 2010. <http://webserver3.ascd.org/ossd/reflection.html>)
Kita rumuskan di sini bahawa refleksi adalah merupakan aktiviti
mengkaji semula proses keberkesanan pengajaran yang telah dilakukan
melalui renungan dengan tujuan mempertingkatkan kemahiran guru.
Refleksi biasanya bermula dengan bisikan hati, renungan dan sorotan
kembali peristiwa. Tetapi refleksi kendiri yang bersifat kritikal
adalah suatu analisis secara aktif, terarah dan bermatlamat. Refleksi
serupa ini menitik beratkan penerokaan doman afektif, spiritual dan
pemikiran seseorang dalam tindakannya mencari kebenaran terhadap ilmu
yang dipelajari.
Penyelia harus sentiasa mengingatkan bahawa sebagai pendidik, kita
tidak harus merasa cukup dengan ilmu sedia ada. Kita harus belajar dan
menoleh ke belakang. Sebagaimana pendidikan berubah dari tahun ke
tahun, para pendidik juga harus menganalisa tingkat pencapaian mereka.
Apakah lagi boleh mereka buat bagi membantu pelajar-pelajar mereka
untuk mencapai yang lebih baik? Apakah lagi yang mereka boleh ubah
atau membuat perbezaan dalam pengajaran agar lebih berkesan?
|