Tentang Guru dan Hari Guru

 

Laman Utama

 

PEMANTAUAN KLINIKAL

(a) Perbincangan Pra Pemantauan

Perbincangan pra pemantauan sangat penting dalam amalan pemantauan klinikal. Ia penting untuk guru yang bakal dicerap, lebih-lebih lagi bagi pemantau sebagaimana yang dijelaskan oleh petikan tokoh berikut:

Mengikut Goldhammer (1969), tujuan dibuat perbincangan ini ialah untuk membantu guru merancang pengajaran, menyatakan maksud objektif guru dan cara-cara mencapainya, mengenalpasti masalah pengajaran tertentu yang dibangkitkan oleh guru dan isu-isu yang dia memerlukan maklum balas. (ATCHADE, Motcho Prosper, Teacher Supervision and The Concept of Clinical Supervision, Jurnal Sciences soiciales et humaines. <http://greenstone.bf.refer.org/collect/revu/index/assoc/HASH72b5.dir/B-007-02-209-216.pdf>).

 Seterusnya, dikatakan juga bahawa ‘perbincangan pra pemantauan’ berperanan sebagai suatu cara untuk memberikan fokus kepada ‘pemantauan’.  (Zapeda, Sally J. (2004) Supervision Across Content Areas, ms. 22) Melalui fokus ini, maklumat kritikal tentang aspek-aspek tertentu semasa pemantauan diperoleh untuk analisa (penambah-baikan) guru apabila dibuat ‘perbincangan pasca pemantauan’.

Mengikut Sally Zapeda, selain bagi tujuan memperoleh data, ‘perbincangan pra pemantauan’ harus:

  • mengukuhkan hubungan profesional di antara penyelia dan  guru.
  • dilakukan dalam tempoh 24 jam ketika pemantauan.
  • dibuat dalam kelas tempat guru mengajar di mana pemantauan akan berlaku
  • memberi fokus yang jelas mengenai pemantauan di mana guru memainkan peranan utama dalam mengenalpasti ‘fokus’.
  • memberi peluang kepada guru untuk bercakap di sebalik pengajarannya.
  • memberi maklumat mengenai ciri-ciri pelajar dan faktor-faktor dalam konteks seperti suasana dan budaya dalam bilik darjah. (Zapeda, Sally J. (2004) Supervision Across Content Areas, ms. 22)

Justeru, ‘perbincangan pra pemantauan’ mestilah membina komunikasi dua hala di antara penyelia dan guru, di mana mereka harus saling mendengar dan bertukar idea. Apa yang disebut oleh Zapeda ini telah dinyatakan secara jelas oleh Cogan (1973) apabila beliau menyenaraikan “Establishing the Teacher-Supervision Relationship” sebagai langkah pertama.

Ini bererti, sebelum pemantauan dilaksanakan seorang pengetua atau penyelia patut mengadakan perbincangan dengan guru untuk melihat aspek-aspek yang berkaitan seperti segi objektif, tajuk, pendekatan pengajaran dan jangkaan hasil (matlamat) yang akan dicapai melalui pengajaran yang akan dilaksanakan. Di samping itu, guru harus memaklumkan tentang prakeperluan silibus, ABM serta latar belakang dan tahap kebolehan pelajar supaya pemantauan mendapat gambaran awal.

Dalam hal ini, panduan yang diberi oleh institusi pendidikan, jabatan atau penyelidik tentang maklumat yang diperlukan ketika sesi ini berlangsung agak berbeza-beza, tetapi asas keperluannya hampir sama. Panduan minimum yang ringkas tentang keperluan maklumat dalam proses pertama ini boleh digambarkan sebagaimana contoh di bawah:

Guru:

Tingkatan/Subjek:

Penyelia:

Tarikh:

1. Persekitaran Bilik Kelas.

           Ciri-ciri pelajar

           Budaya dan Suasana kelas

2. Objektif Pembelajaran

            Kandungan

            Proses

            Sumber rujukan

3. Mendapatkan Keputusan

            Penilaian

4. Fokus terhadap Pemantauan

     Ini merupakan aspek penting yang membolehkan penyelia melihat kerana melalui ‘fokus’ beliau akan dapat:

         - Melihat secara lebih dekat kepada ‘tumpuan’ di mana guru menghendaki data objektif menerangkan tingkah-laku pengajaran.

         - Mengumpulkan data yang lebih baik kerana penyelia akan mengetahui alat pemantauan mana yang perlu digunakan.

 
 

© 2011 Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.