PEMANTAUAN KLINIKAL
e) Perbincangan pasca pemantauan
Langkah terakhir dalam proses pemantauan ini merupakan suatu peringkat
yang besar ertinya bagi menilai keberkesanan pemantauan secara
menyeluruh.
Pada peringkat akhir ini, pengetua atau penyelia bertemu dengan guru
bagi membincangkan analisis yang telah dibuat olehnya. Dia akan
membawa guru untuk menyorot kembali peristiwa pengajaran dan meminta
guru membuat refleksi.
Sekiranya
terdapat kelemahan berhubung dengan pengajaran guru, penyelia harus
memberikan cadangan penambahbaikan yang perlu dilakukan. Sementara
kekuatan yang ada pada diri guru itu perlu ditonjolkan dan diberi
penghargaan. Di sini terserlahlah ilmu dan keupayaan penyelia atau
pengetua dalam penyeliaan bilik kelas, dan pemantauan kurikulum secara
amnya.
Dalam langkah-langkah penyeliaan Goldhammer, peringkat ini disebut
sebagai ‘Perbincangan Penyeliaan’, iaitu sebelum dibuat Analisis
Perbincangan Pasca Pemantauan. Dalam proses ini, beliau menyatakan
tujuan perbincangan penyeliaan sebagai untuk memberi maklum balas dan
menjadi asas bagi penambahbaikan dalam pengajaran seterusnya. Kemudian
dalam ‘perbincangan pasca pemantauan’nya ialah peristiwa perancangan
dibangun semula, perbincangan itu dinilai, dan teknik-teknik
penyeliaan dinilai supaya membolehkan guru itu boleh melihat
kepentingan perbincangan. (ATCHADE, Motcho Prosper,
Teacher Supervision and The Concept of Clinical Supervision,
Jurnal Sciences soiciales et humaines, viewed on 11
December 2010,
<http://greenstone.bf.refer.org/collect/revu/index/assoc/HASH72b5.dir/B-007-02-209-216.pdf>).
Perbincangan pasca pemantauan merupakan satu peluang untuk bertukar
maklumat mengenai apa yang dirancangkan berlaku dan apa yang
sebenarnya terjadi semasa pengajaran. Kejayaan perbincangan ini
bergantung kepada sejauh mana ianya dilihat sebagai bersifat formatif,
memberikan fokus untuk menambah-baikkan pengajaran, dan akhirnya
menambahkan kemajuan pembelajaran pelajar.
Menurut Sally Zapeda, teras di dalam perbincangan pasca pemantauan
ialah ia menyediakan suatu ruang atau forum di mana guru dan penyelia
boleh berbicara mengenai peristiwa-peristiwa semasa pemantauan bilik
kelas. Dengan adanya sesi perbincangan ini, ia memberi peluang kepada
guru-guru untuk bercakap, bertanya dan membuat refleksi terhadap
amalan-amalannya dengan bantuan penyelia atau rakan guru (dalam kes
peer coaching). Tujuan utama perbincangan pasca pemantauan ini
ialah
-
Membuat ulasan dan analisa data yang yang dikutip dari segi fokus yang
mereka telah tetapkan semasa ‘perbincangan pra-pemantauan’.
- Membangunkan
rancangan yang berguna untuk pembangunan dan penambah-baikan yang
berterusan berasaskan apa yang dicerap di dalam bilik kelas dan apa
yang dibincangkan di dalam ‘perbincangan pasca pemantauan’.
- Untuk
memastikan guru bersedia bagi menetapkan fokus dalam ‘perbincangan
pra-pemantauan’ yang akan datang.
(Zapeda, Sally J. (2003)
Instructional supervision: applying tools
and concepts ms. 101-102).
Justeru pentingnya ‘perbincangan pasca pemantauan’, beliau menyarankan
supaya sesi ini dilaksanakan dengan berkesan tanpa dilewat-lewatkan
oleh kerja-kerja pengurusan seorang pengetua yang sentiasa sibuk. Ini
dapat dilakukan dengan cara ‘perbincangan pasca pemantauan’:
-
Dilaksanakan dalam tempoh 48 jam pemantauan;
-
Dijalankan di dalam bilik kelas di mana pemantauan itu berlangsuang;
-
Menawarkan dialog yang berterusan di antara guru dan penyelia.
Kata beliau, jika terlalu banyak masa berlalu antara pemantauan dan
perbincangan, data pemantauan tidak lagi bermakna dan guru juga hilang
motivasi. Demikian juga jika tempat perbincangan berlaku di dalam
bilik pengetua, ia akan menyebabkan pengetua berada dalam kedudukan
berautoriti berbanding dengan bilik kelas yang berada dalam
persekitaran pembelajaran dan merangsang diskusi. Tuntasnya, suasana
perbincangan haruslah bersifat kondusif untuk semangat penambahbaikan
dan dialog masa depan.
(Zapeda, Sally J. (2003) Instructional
supervision: applying tools and concepts ms106).
Bahan yang hendak dikumpulkan daripada ‘perbincangan pasca-pemantauan’
pula harus tertumpu kepada matlamat pengajaran dan pembelajaran yang
bersifat formatif. Untuk mempastikan keberkesanan pemantauan dan
‘perbincangan pasca-pemantauan’, pengetua atau penyelia wajar menderaf
suatu borang khusus untuk tujuan ini. Sebagai suatu contoh, di bawah
ini diperturunkan satu borang contoh berasaskan panduan daripada tapak
web
Connecticut University Colleges.
Borang
Pasca-Pemantauan
Guru:_________________________ Tarikh:___________
Tarikh
penyeliaan:______________ Kelas/Masa:__________
Bahagian I:
Refleksi Guru
1. Berdasarkan
objektif pengajaran anda, bagaimanakah agaknya proses pengajaran
berlangsung?
2. Apakah para
pelajar mempelajari apa yang anda mahu mereka belajar? Bagaimana
anda tahu?
3. Adakah
strategi atau kaedah pengajaran yang dipilih berkesan? Bagaimana
anda tahu?
4. Adakah
bahan-bahan yang digunakan berguna? Bagaimana anda tahu?
5. Jika anda
dapat mengajar semula pelajaran ini di dalam kelas yang sama:
a. Apakah
perubahan yang anda akan lakukan? Kenapa?
b.
Perkara apakah yang anda akan terus ulangi? Kenapa?
Bahagian II:
Dialog Refleksi Pemantau (Observer Reflection Dialogue)
Langkah-langkah
berikut boleh digunakan untuk melibatkan guru atau para guru dalam
diskusi reflektif berkaitan dengan amalan instruksi guru:
1. Jika
penyelia dibekalkan dengan Borang Pemantauan Pengajaran(Instructional
Observation form), gunakan borang itu untuk berkongsi
komen-komen penyelia terhadap guru, termasuk saranan-saranan yang
hendak diajukan bagi tujuan penambahbaikan. Libatkan guru dalam
dialog mengenai interpretasi mereka terhadap pemantauan. Berikan
contoh-contoh daripada catatan-catatan penyelia jika dirasakan
perlu. |
2. Kaitkan
perhubungan di antara tingkah-laku guru dan tingkah-laku pelajar
secara jelas atau berterus terang, terutama mana-mana yang
berkaitan dengan bahagian fokus yang dipilih semasa pra-pemantauan.
3. Lakukan
penilaian terhadap keberkesanan pelajaran secara bersama. Gunakan
catatan penyelia serta bandingkan dengan interpretasi guru untuk
tujuan merapatkan jurang yang mungkin wujud di antara persepsi
penyelia dan persepsi guru terhadap pelajaran atau pengajaran.
4. Pinta
cadangan dan bincang strategi pengajaran alternatif bagi
memperkaya koleksi kaedah guru.
5. Perkukuhkan
strategi pengajaran guru yang sedia berkesan.
6. Ringkaskan
sebarang perubahan yang hendak dimasukkan ke dalam Borang
Pemantauan Pengajaran, yang mana itu juga akan menjadi sebahagian
daripada dokumentasi penilaian.
|
(Connecticut University Colleges,
Module 3.2 Conducting Classroom Observations,
viewed on 18 December 2010,
<http://www.commnet.edu/emprel/trng/tm_3_2_clasobs.html>)
Akhir sekali, perlu disebutkan juga bahawa umumnya pemantauan
pengajaran guru dan pembelajaran pelajar kerap kali menimbulkan
sedikit keresahan, kerisauan dan stres di kalangan guru-guru. Dengan
adanya perbincangan pra-pemantauan dan perbincangan pasca-pemantauan,
tingkat stres dan teka-teki di kalangan guru menjadi berkurangan
sedikit.
|