PEMANTAUAN KLINIKAL
DEFINISI PEMANTAUAN ATAU OBSERVATION
Pemerhatian, pencerapan, penyeliaan atau pemantauan merupakan istilah
terjemahan Bahasa Melayu yang diterima umum daripada perkataan atau
istilah observation. Bagaimanapun, dalam ilmu pendidikan di
Malaysia, dua perkataan yang paling kerap digunakan di dalam penulisan
ialah sama ada penyeliaan atau pemantauan. Dalam tugasan ini saya
hanya mengguna dua istilah ini bagi maksud observation.
Observation
boleh didefinisikan sebagai suatu proses mengutip maklumat dengan cara
melihat, atau secara lebih spesifik sebagai pemerhatian terhadap
tingkah-laku dan membuat catatan terhadap tingkah-laku yang
diperhatikan. Pemantauan langsung (direct observation) merujuk
kepada proses mencatat tingkah-laku secara langsung sebagaimana ia
berlaku dalam persekitaran tertentu. Pemantauan natural (Naturalistic
observation) meliputi pemerhatian terhadap tingkah-laku
sebagaimana ia berlaku dalam persekitaran semula-jadi. Sementara
“pemantauan klinikal” (Clinical observation) terjadi dalam
persekitaran yang diatur atau yang disengajakan.
(Tips for teachers: Assessing for Instructional and Behavior
Problems: Identifying and Measuring Student Behaviors.
viewed on 7 December 2010 <http://www.afcec.org/tipsforteachers/tips_a2.html>)
Melalui pemantauan, kita boleh mendapat jawapan berkaitan corak
tingkah-laku yang dipaparkan dalam keadaan-keadaan tertentu dan apakah
yang menjadi pendorong kepada tingkah-laku yang diperhatikan.
Mana-mana jenis pemantauan yang disebutkan di atas boleh digunakan
bagi maksud ini. Secara berbanding, definisi “pemantauan klinikal”
yang diberikan dalam pendidikan agak mendekati dengan maksud
pemantauan langsung, di mana kaedah pemantauan langsung inipun
merupakan jenis pemantauan yang kerap dan gemar digunakan oleh mereka
yang terlibat dalam arena pendidikan.
Walau apapun, dalam tugasan yang terhad ini saya hanya akan fokuskan
kepada pemantauan klinikal. Untuk itu, saya petik definisi Goldhammer
dan Cogan (1969), yang menjelaskan ‘penyeliaan klinikal’ sebagai
perhubungan kerjasama di antara guru dengan penyelianya di mana
perancangan pengajaran berlangsung menerusi diskusi berasaskan
persoalan mengenai pembelajaran pelajar. Definisi ini tidak jauh
bezanya dengan apa yang diutarakan oleh soalan tugasan. Justeru, saya
bersetuju dari segi maksud dan tujuan sebagaimana yang dikemukakan di
dalam soalan tugasan ini, iaitu, “pemantauan klinikal” dikatakan
sebagai proses jangka panjang berdasarkan proses pengajaran dan
pembelajaran (P & P) bagi menerangkan apa yang sebenarnya berlaku
dalam bilik darjah. Tujuan murninya ialah sebagai usaha bagi
menambahbaik kualiti proses pengajaran dan pembelajaran.
|