Tentang Guru dan Hari Guru

 

Laman Utama

 

PEMANTAUAN KLINIKAL

c) Analisis dan Strategi

Orang yang bertanggungjawab dalam menganalisis dan merangka strategi dalam langkah pemantauan ini ialah pengetua atau penyelia. Kata Goldhammer, tujuan peringkat ini ialah untuk membangun semula atau menyorot kembali peristiwa yang berlangsung, yakni untuk menilai pengajaran yang dicerap dari segi (a) hasrat peribadi guru serta (b) kriteria pedagogi dan menghasilkan strategi bagi membantu guru tersebut. (Goldhammer dan Cogan (1969), ms 209)  (ATCHADE, Motcho Prosper, Teacher Supervision and The Concept of Clinical Supervision, viewed on 11 December 2010, <http://greenstone.bf.refer.org/collect/revu/index/assoc/HASH72b5.dir/B-007-02-209-216.pdf>).

Dalam kerangka langkah-langkah Cogan (1973) yang bertanggungjawab melebarkan kerangka asal Goldhammer  yang mempunyai 5 peringkat sehingga menjadi 8, beliau telah membahagi satu bahagian untuk analisis dan satu lagi untuk strategi. Lantas, beliau meletakkan peringkat ‘Analisis dan Strategi’ sebagai merangkumi:

(a)       Analisa Proses Pengajaran-Pembelajaran (Analyzing the Teaching-Learning Process),  dan

(b)        Perancangan Strategi Perbincangan (Planning the Strategy of the Conference). (The Clinical Supervision Model,  viewed on 11 December 2010 <http://www.teachnologist.com/pwp/ObsEval/Clinical%20Supervision.pdf>)

Dalam ‘Analisa Proses Pengajaran-Pembelajaran’, penyelia atau/dan penyelia bersama akan menganalisa peristiwa pengajaran. Dalam hal ini, sekiranya terdapat dua orang atau lebih penyelia, mereka boleh melakukannya sama ada secara bersama atau berasingan. Analisa mereka haruslah berkaitan mengenalpasti pola tingkah-laku, deskripsi tingkah-laku guru dan deskripsi tingkah-laku pelajar.

Sementara dalam Perancangan Strategi Perbincangan, penyelia akan merancang (i) objektif sementara perbincangan dan (ii) proses menyemak semula pengajaran. Dalam perancangan itu, ia harus melibatkan perbincangan persekitaran fizikal, bahan-bahan atau alat bantu mengajar (ABM). Perbincangan itu pula tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan mesti dalam waktu persekolahan. (Slide: Clinical supervision Cogan, viewed on 11 December 2010 <http://www.slideboom.com/presentations/195397/Week-1---Clinical-Supervision-Cogan>)

Peringkat Analisis dan Strategi ini amat mustahak sebelum penyelia mengadakan ‘perbincangan pasca pemantauan’. Hal ini dirumuskan oleh Alimuddin Md Dom sebagai “Proses ini dilakukan oleh pengetua dan guru besar yang akan membuat refleksi dan merangka kesimpulan daripada proses pengajaran dan pembelajaran tersebut bersama guru. Catatkan segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri guru, teknik penyampaian, ilmu yang disampaikan, penerimaan pelajar dan jangkaan yang ingin dicapai. Penggunaan alat video dan perakam kadang-kadang boleh membantu dalam membuat sesuatu analisis.” (Alimuddin Md. Dom. Pengurusan kurikulum yang berkesan. viewed on 11 December 2010 <http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2007&dt=0305&pub=DuniaPendidikan &sec=Berita&pg=be_01.htm>)

Saya lihat pengetua atau penyelia boleh mengguna beberapa kaedah dalam analisis terhadap pemantauan yang telah berlaku. Analisis yang kemas dan rapi akan membuat perbincangan pasca pemantauan lebih bermakna dan dihargai oleh guru yang diselia. Di antara kaedah yang boleh digunakan itu ialah analisis SWOT, di mana penyelia dapat menyenaraikan kekuatan, kelemahan, peluang-peluang dan ancaman dalam P & P guru terlibat.

Ancaman sebagai faktor luar juga wujud dalam pemantauan. Tetapi ia harus dilihat dari sudut yang konstruktif supaya apa yang berlaku itu dapat ditukar menjadi faktor yang turut membina pengajaran. Contohnya ialah apabila pengajaran guru terganggu oleh kehadiran seseorang yang mengetuk pintu untuk menghulur sesuatu atau menyampaikan pesanan atau membuat pengumuman. Seorang guru yang kreatif mungkin boleh menghubungkan kejadian itu dengan unsur-unsur dalam pengajaran waktu itu atau cuba kaitkan interupsi itu dengan penerapan nilai murni yang boleh disengajakan.

Dengan cara itu, sesuatu yang di luar pengajaran dan pembelajaran hari itu telah berjaya ditukarkan oleh guru yang bijak dan kreatif itu menjadi satu peluang. Dalam hal ini peluang itu digunakan secara konstruktif untuk menerapkan nilai-nilai yang baik seperti dengan menceritakan tentang perbuatan sopan melayan tetamu, memaklumkan sifat-sifat baik orang yang mencelah tadi atau seumpamanya. Jika mesej yang disampaikan oleh orang berkenaan ada kaitan dengan isi pengajaran, sekolah atau dengan pelajar, guru itu juga boleh menghubungkan interupsi dari luar itu secara positif.

Saya tidak akan menghuraikan atau menyenaraikan semua contoh kekuatan, kelemahan, ancaman atau peluang-peluang. Tetapi gambar rajah analisis SWOT ini boleh dipenuhi dengan senarai ciri-ciri yang lengkap di dalam kotak tersebut.

Apabila pengetua itu dapat memenuhi semua senarai seperti kaedah SWOT di atas, ia boleh menjadi asas yang kukuh bagi perbincangan dengan guru nanti.

 

© 2011 Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.