Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia
Kami,
guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah
berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang
taat setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari
betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah
pencapaian hasrat yang gemilang dan yang percaya kepada demokrasi,
kebebasan perseorangan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Melalui
pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan
mereka, memperolehi pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman
berzaman, dan menyediakan mereka untuk menghadapai cabaran pada masa
hadapan.
Dengan
menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk
mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima
tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami
menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang
setinggi-tinggnya.
I.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
1. Lebih
mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal
lain.
2. Bersikap
adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani,
mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
3. Merahsiakan
maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka
yang berhak mengetahuinya.
4. Membimbing
atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata
pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang
bayaran.
5. Menunjukkan
satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan
contoh yang baik kepada pelajar.
6. Memelihara
dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan
menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya
pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
II. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
1. Menghormati
tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
2. Berusaha
mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi
pendidikan dengan rumahtangga.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai
keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak
akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak
mengetahuinya.
4. Memberikan
maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan
menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan
bijaksana.
5. Mengelakkan
diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan
eknonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan
diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh
menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
III.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
1. Mengelakkan
diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan
kepentingan pelajar, masyarakat, negara atau pun yang bertentangan
dengan Rukun Negara.
2. Memupuk
dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan
membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia,
bertanggungjawab dan berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan,
keturunan dan agama.
3. Menghormati
masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab
sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian
dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4.
Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa,
institusi pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi
sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral, kebudayaan dan
kecendekiawan masyarakat.
6. Berpegang
kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan
menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
IV.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION KEGURUAN
1. Mengelakkan
diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh
mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa,
atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak
melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami
sebagai guru.
3. Berusaha
dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan
bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan ikhtisas
dan sosial.
4. Sentiasa
bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang beru
dalam profesion keguruan.
5. Sentiasa
mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion
keguruan.
6. Akan
menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
CATATAN:
Guru yang dimaksudkan dalam konteks tatasusila ini ialah orang yang
menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi peringkat rendah,
menengah dan tinggi, termasuk guru terlatih yang bertugas dalam
pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.
|