Sajak Untuk (Arwah)
Ayah
Sajak kupaku dan kutujukan untuk ayahku sebagai seorang guru
berjasa. Sungguhpun di wajahnya selalu nampak gusar, kegusarannya
bukan untuk diri tetapi adalah untuk masa depan anak-anaknya.
Beliau merupakan seorang yang amat cermat dan tujuannya pun tidak
lain melainkan supaya anak cucunya dapat merasakan hasil
pencariannya. Ayahku merupakan seorang yang amat bangga dengan
pencapaian murid-murid dan anak-anaknya. Benar beliau garang.
Namun garangnya adalah untuk memajukan anak didik dan anak-anaknya
yang seramai 7 orang itu.
Laman ini saya dedikasikan untuk beliau. Wajah beliau sentiasa
bermain di minda kami. Minta maaf ayah. Di hari-hari kemudian kami
langsung lupa bahawa ayahanda adalah juga seorang guru. Guru
kepada murid-muridmu yang belajar denganmu untuk dimensi masa
lebih 30 tahun. Guru untuk kami semua anak-anakmu yang menghirup
hidup hari ini atas jasamu jua.
Ayahandaku kembali ke rahmatuLlah dengan meninggalkan
apa yang beliau sendiri tidak hajati untuk dirinya di sepanjang
hidupnya. Beliau adalah seorang ayah yang sebenar-benarnya. Laman
Tentang Guru & Hari Guru ini ku hadiahkan buatmu, khusus. Dan
sajak ini jua untukmu.:
AYAHKU SEORANG GURU
Ayahku seorang guru
hampir
aku lupa
garang dan
bengismu
buat mendidik
bangsa berguna
agar bumi
ini jauh bermakna.
ayahku seorang guru
seperti jua muridmu yang pelupa
namun kami sanjung budi dan jasamu
yang menjadikan kami manusia
yang menjadikan kami berbeza.
ayahku seorang guru
namun
aku tidak lupa
sayang
kasihmu tetap terpahat
dalam tidur dan jaga
kepingin melihat kerlipan bintang didikmu
sinar cahayanya menerangi malam.
ayahku seorang guru
di
sekolah rendah kampung dan kota
sampai kapanpun engkau guru
bagi mereka muridmu
dan anak-anakmu yang
terus menongkah jaya.
Lalu doa kami panjatkan
untukmu ayah, dan
sekalian
guru berjasa.
(buat arwah ayahku dan sekalian guru)
Mohamed Hatta
(nama yang engkau berikan untuk ku)
2 April 2011