Peranan guru
bagai 'matahari'
Oleh: SULAIMAN KONIT
(Makalah pilihan)
HARI guru datang lagi. Tahun lalu sambutannya di Kuala Terengganu
dan tahun ini di East Coast Mall, Kuantan, Pahang bermula dari 13-16
Mei 2010. Sambutan ini adalah kali ke-39 diraikan di negara bertuah
ini.
Sambutan Hari Guru bermula 1972 dengan tema: ''Peranan Guru Dalam
Pembangunan Negara'' dan pada tahun 2010 temanya ''Guru Pembina
Negara Bangsa''.
Dalam hati kecil bekas guru warga emas ini, 40 tahun telah
mengabdi diri dalam alam perguruan dari tahun 1952-1992, merasa
seronok dan terharu bila saja menjelang hari meraikan para guru.
Rasa terharu di hati terutama bila menoleh ke belakang betapa
sulitnya para pendidik dulu ketika berkhidmat untuk memberi
pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa.
Pepatah lama ''Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang
lain'' bermaksud guru dulu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran
terutama berkhidmat di era kemerdekaan negara sebelum 31 Ogos 1957.
Ada yang terpaksa berjalan kaki untuk bertugas, dan ada terpaksa
membimbit barang makanan untuk seminggu jika sekolah jauh dari kedai
atau bandar. Terpaksa pula menyewa pondok buruk yang ditinggalkan
untuk tempat tinggal, terpaksa menggali perigi sendiri kalau jauh
dengan sungai.
Terpaksa mengajar di bangsal pisang sesikat atau di bawah rumah
sekolah yang tinggi jika kelas tak cukup di bahagian atas sekolah.
Mereka juga terpaksa hanya menggunakan buku teks sekolah yang
usang. Guru yang rajin menimba ilmu untuk murid mereka membelinya
sendiri bila sekali sekala turun ke bandar.
Bagi orang sekarang atau lebih tepat lagi para pendidik sekarang,
itu cerita lama yang sudah berkubur dan tak perlu di ungkit-ungkit
lagi. Hanya membuang masa untuk dicoretkan atau dibacakan.
Tapi bagi yang mahu memikirkan untuk dijadikan sebagai iktibar,
betapa senangnya para pendidik sekarang setelah lebih 50 tahun
negara mencapai kemerdekaan. Hanya dapat saya unggapkan, kalau susah
pun para pendidik menghadapi kerenah masyarakat dan disiplin pelajar
sekarang, boleh berkata bahawa, mereka susah dalam senang. Itulah
saya mengulang kata peribahasa yang tersebut di atas.
Tahun lalu saya menulis dalam akhbar ini pada 16 Mei 2009. Saya
ada menyatakan bahawa pepatah di atas perlu ditambah dengan (dua
lagi) pepatah lain, bagi melengkap peranan guru dalam masyarakat
kini iaitu "Guru ibarat bunga, mewangikan dirinya di samping
mewangikan orang lain''. Dan satu lagi, ''guru ibarat matahari,
menerangi dirinya di samping itu menerangi orang lain."
Bunga sifatnya sangat sentimental. Tiap-tiap sekuntum bunga
biasanya adalah wangi. Bagi dirinya wangi dan bagi orang yang
menciumnya berbau harum dan wangi. Bunga yang berwarna-warni
diibaratkan sebagai para guru yang disukai oleh orang ramai kerana
budi pekertinya yang menarik.
Pokok bunga tersebut akan berbunga silih berganti, mengeluarkan
benih yang akan menyambung hayatnya. Bagi guru begitulah hendaknya
sentiasa mewangi anak bangsanya dan tak lupa lebih-lebih lagi anak
mereka sendiri.
Boleh difikirkan untuk diambil iktibar oleh guru-guru sekarang
walaupun mereka sudah mencapai kelulusan yang tinggi dalam ilmu
perguruan.
Tahun 1960-an dan 1970-an, mereka telah mula merebut tempat untuk
berjaya dalam pendidikan sebagai salah satu cara mengubah status di
kalangan mereka sendiri atau dalam masyarakat secara keseluruhannya.
Mereka memperbaiki diri dan anak-anak mereka menerusi pelajaran yang
masih belum terbuka luas.
Bagi guru-guru yang telah mendapat kelulusan SPM atau STPM dengan
cara belajar sendiri, cuba pula untuk memohon masuk ke universiti
terutama Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia atau
Universiti Sains Malaysia ataupun belajar melalui kursus gaya pos
dari Univasitas Indonesia Jakarta (UNAS) anjuran Kesatuan Guru
Melayu Malaysia Barat (KGMMB).
Saya sarankan juga bahawa guru juga boleh diibaratkan atau
berperanan sebagai 'matahari'. Guru ibarat sebagai matahari,
menerangi dirinya, di samping menerangi orang lain. Walaupun jauhnya
matahari 93 juta tahun perjalanan, ia masih dengan kuasa Allah
menerangi alam dan makhluknya.
Tahun 1980-an hingga 1990-an adalah zaman sains dan teknologi
serta Internet. Para pendidik yang mengikut perubahan terpaksa pula
melengkapkan diri di alam siber ini. Kalau tidak mereka akan
ditinggalkan zaman yang ligat berputar di seluruh dunia.
Matahari dianugerahkan Allah sumber kehidupan termasuk dalam
pendidikan. Rata-rata para pendidik kita mahir dalam melayari
internet untuk membimbing para pelajar dan anak-anak mereka.
Sebagai warga emas, saya masih berminat dengan komputer dan
pendidikan semasa, apatah lagi para pendidik sekarang yang saya
percaya lebih berminat komputer untuk diri, anak bangsa serta
anak-anak sendiri. Terangi mereka yang diamanahkan kepada guru
dengan akal budi yang luhur di samping dapat memilih mana yang buruk
dan yang baik.
Di zaman pendidikan saya, disiplin amat dipentingkan. Disiplin
bermakna mengikut peraturan yang ditetapkan, bukan tergambar hanya
merotan, bila sahaja disebut disiplin. Pendidikan sekarang
berkonsepkan kaunseling.
Bagi saya kaunseling bermakna 'membimbing'. Membimbing anak
bangsa kita dengan semangat (sifat) yang baik. Bila digabungkan
disiplin dengan bimbingan, sepatutnya kita akan membuahkan manusia
yang berbudi pekerti mulia dan berpelajaran tinggi.
Sepatutnya jangan adakan 'kuota' untuk guru disiplin dan
kaunseling di sekolah. Adalah wajar tiap-tiap diri guru sekarang
menjadi dan sanggup bertindak sebagai guru disiplin dan kaunseling.
Dalam kita memperkatakan konsep disiplin dan kaunseling ini,
jangan sekali-kali lupa menggunakan pendekatan surah Al-Isra' ayat
23 dan surah Loqman ayat 18, tentang pembentukan sikap anak didik
kita. Ringkasnya dua ayat di atas mengenai taat kepada Allah, Rasul
dan ibu bapa di samping tidak bersikap sombong dan memandang rendah
orang lain.
Dalam mengarah tuju pendidikan sekarang, jangan kita lupa
sumbangan jasa Allahyarham Aminuddin Baki dan Pendita Zainal Abidin
Ahmad (Zaaba).
Dalam sejarah, orang dulu adalah cermin kita sekarang dan orang
tua sepatutnya menjadi tempat rujukan kita semua.
Penulis ialah bekas Guru Besar, SK Bandar Temerloh dan juga Tokoh
Guru Temerloh 1998
Utusan Malaysia :
13/05/2010