 |

SINOPSIS FALSAFAH
PERUBATAN HOMEOPATI DR. BURHANUDDIN
*** Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Kuliah 9
Proving,
daripada bahasa German bermakna menguji, menentukan mutu, mencuba
dengan merasa, menanggungkan, menetapkan atau mentahqiqkan sesuatu
kebenaran dan kenyataan, menunjukkan ketulenan dan menentukan
kebetulan sesuatu natijah. Homeopati mengguna proving bagi
menguji, membuktikan dan mengesahkan khasiat dan kegunaan penawar di
mana hasilnya menjadi asas bagi menyediakan Materia Medica.
Orang yang bertanggungjawab melakukan proving pada masa itu
ialah doktor-doktor homeopati yang mahir. Sementara mereka yang
mengujikan drug atau ubat itu dinamakan ‘prover’.
Apabila satu-satu ubat itu
diujibuktikan, doktor yang menguji dan prover akan mencatat
segala simptom-simptom yang terhasil sama ada kecil atau besar,
penting atau tidak, tanpa menyembunyikan satupun. Daripada
keterangan-keterangan yang diperoleh itu, simptom-simptom itu disusun
pula mengikut kepentingan atau kumpulan tertentu untuk dibukukan
sebagai materia medika. Bahasa di dalam materia medika itu asalnya
ialah bahasa orang biasa yang sakit, bukannya bahasa perubatan maupun
patologi. Jika proving itu dilaksanakan lebih daripada sekali,
ia tetap menghasilkan simptom yang sama yang diujibuktikan sebelumnya
kerana kerja khasiat ubat itu tidak berubah dan abadi sifatnya.
 |
|