 |

SINOPSIS FALSAFAH
PERUBATAN HOMEOPATI DR. BURHANUDDIN
*** Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Kuliah 5
Tujuan rawatan pada umumnya ialah
membuang penyakit. Semasa lahirnya homeopati pelbagai jenis ramuan dan
ubat digunakan di dalam rawatan yang mana rasa pahit, kelat, perit dan
sebagainya menjadi kunci kesembuhan justeru pada sangkaan mereka jika
bertambah keras ubatnya maka semakin cepatlah penyakit itu pergi.
Meskipun zaman berubah dan semakin moden, konsep perubatan tidak jauh
berubah. Melalui perkembangan sains dan ciptaan alat-alat baru
sehingga manusia mengenal kuman dan virus sebagai sebahagian punca
menyebabkan penyakit, ahli-ahli perubatan masih memegang konsep
membuang penyakit.
Sedangkan homeopati melihat diri
insan yang berada di dalam. Insan itu dikatakan sakit apabila
seseorang itu merasa sesuatu tidak berjalan dengan betul (disorder)
di dalam badan dan/atau gangguan di dalam fikiran dan perasaannya.
Kerana itu timbul perkataan “dis-ease”, yang bermakna tidak
senang, atau tidak sihat. Ulas-ulas sel, kuman dan virus hanya
merupakan tanda (sign), yang lahir kemudian apabila diri orang
itu sakit. Kerana itu, kalau sekadar merawat penyakit (yang dilihat
hanya pada ulas-ulas sel), Dr. Burhanuddin seperti juga Dr. Hahnemann,
menganggap para doktor perubatan itu sebagai berpemikiran dangkal dan
cetek.
Selain membawa ayat-ayat al-Qur’an
bagi membantu menerangkan konsep perhubungan rohani dan jasmani, bagi
menyatakan diri halus atau diri rohani yang lebih dahulu sakit sebelum
keluar simptom- simptom pada tubuh jasmani, Dr. Burhanuddin juga
membawa konsep atau istilah trimutri bagi menerangkan hubungan tiga
unsur atau susunan. Katanya, tiap-tiap seorang diri itu mesti
mempunyai tiga susunan iaitu tubuh-akal-nyawa (body-mind-soul).
Jika ketiga-tiga trimutri ini berjalan dengan betul dan aman damai,
maka orang yang mempunyai diri merasa senang, rehat dan segar. Itulah
‘sihat’.
 |
|