|

SINOPSIS FALSAFAH
PERUBATAN HOMEOPATI DR. BURHANUDDIN
*** Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Kuliah 19
Sifilis berbeza dengan psora kerana
dalam kes psora, manusia sentiasa terdedah tanpa perlu mencarinya.
Sebaliknya, sifilis (syphilis) adalah akibat perbuatan manusia
sendiri. Ia merupakan satu penyakit hasil daripada perbuatan zina,
dijangkiti daripada orang yang telah menghidapinya. Penyakit ini boleh
dielakkan walaupun ada yang mendapatnya secara tidak sengaja.
Dalam kes suami isteri yang salah
seorangnya membawa miasma sifilis, pasangannya boleh mendapat
jangkitan sifilis menurut peringkat-peringkat yang dihidapinya pada
ketika itu. Jika seorang suami telah mengidap sifilis peringkat kedua,
maka isterinya pun akan menerima kesan peringkat kedua (secondary
stage) dan akan menerima apa yang disemai oleh suaminya.
Tetapi mengikut undang-undang tabii,
apabila terdapat dua penyakit idapan yang tidak serupa, maka salah
satu daripada penyakit itu akan bebas daripada diwarisi. Contoh yang
diberikan oleh Dr. Burhanuddin daripada tulisan Dr. J. T. Kent itu
merujuk kepada ayat 36, Organon of Medicine, iaitu:
“Jika dua penyakit yang
tidak serupa tetapi sama kuat atau penyakit yang terdahulu itu lebih
kuat, bertembung dalam diri manusia maka penyakit yang baru masuk akan
ditahan oleh penyakit yang terdahulu tanpa sempat memberi kesan.
Seorang pesakit yang menderita penyakit kronik yang teruk tidak akan
dijangkiti oleh disenteri biasa atau pelbagai penyakit wabak lain.”
Miasma sifilis dapat dipelajari
dari gambaran simptom yang dilahirkan oleh khasiat penawar-penawar
homeopati. Pada peringkat pertama, timbul tumbuh-tumbuh (chancre),
selepas lebih kurang seminggu akan menjelma keluar bintit-bintit merah
atau gelembung-gelembung, diikuti dengan pecah-pecah mulut atau
meroyak-royak dan akhirnya rambut gugur. Dalam penjelmaannya, sifilis
ini merosak dan mengganggu alat-alat pada bahagian dalam seperti otak,
limpa, buah pinggang, kura-kura, jantung dan paru-paru, urat-urat tisu
dan tulang-tulang. Sifilis juga boleh menyerang pembuluhan darah dan
limpa lalu menyebabkan berlaku kekotoran di bawah kulit, yang
menyebabkan bengkak atau seakan bisul.
Penawar-penawar homeopati boleh
merawat punca gangguan sifilis dan simptom-simptom yang tersembunyi,
juga boleh menghilangkan idapan tumbuh-tumbuh itu dan bisa-bisanya.
Mana-mana sakit yang pernah dibenam itu akan kembali menjelma keluar,
kemudian pulih secara beransur-ansur. Tetapi hanya penawar-penawar
anti-sifilitik yang constitutional sahaja dapat memberikan
kesembuhan dengan cara membongkar kembali semua penyakit-penyakit yang
lama itu.
 |