|

SINOPSIS FALSAFAH
PERUBATAN HOMEOPATI DR. BURHANUDDIN
*** Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Kuliah 18
Seperti dalam buku Dr. J.T.Kent,
Dr. Burhanuddin menambah kuliah berikut dengan sambungan pembicaraan
penyakit psora. Di sini dijelaskan pertalian di antara fikiran dan
tabiat manusia dengan kecenderungan mendapat penyakit. Asal kejadian
manusia adalah baik. Selagi manusia itu berfikiran bersih dan
berkelakuan baik, selama itulah manusia dapat hidup sejahtera dan
bebas daripada terkena penyakit (susceptibility to disease).
Namun apabila dia berfikiran kotor serta tidak menjaga maruahnya, dia
akan cenderung terdedah kepada jangkitan dan penyakit kerana hal itu
selaras dengan apa yang difikirkannya.
Di zaman dahulu sebelum Nabi Nuh
lagi, penyakit kusta (leprosy) pertama kali menyerang manusia
sebagai balasan daripada Tuhan, dan banjir besar telah membasuh
kekejian manusia serta membersihkan sebahagian besar keturunannya.
Hari ini sebahagian manusia hanya mewarisi jangkitan psora dalam
sifatnya yang kurang kuat. Tetapi ia telah menyebabkan manusia mudah
mendapat sakit (susceptibility to disease) kerana telah wujud
di dalam tubuh majoriti manusia itu suatu persediaan buat perkembangan
penyakit psora. Kemudian, justeru miasma psora ini juga, maka bertapak
dan berkembangnya penyakit kronik sifilis dan sikosis.
Komplikasi psora semakin sukar
disembuhkan jika ia bercampur dengan sifilis atau sikosis. Hal ini
bertambah teruk apabila pengidap penyakit kronik itu mendapat rawatan
daripada doktor-doktor yang membenamkan penyakit yang hendak keluar
dengan memberikan ubat-ubat keras (drug). Homeopati dapat
membantu masalah psora ini dengan cara memberi rawatan berasaskan
undang-undang seraksi yang tulen, serta mengelakkan daripada merawat
berdasarkan nama-nama penyakit seperti amalan alopati.
Hahnemann mengatakan bahawa psora
adalah ibu segala penyakit dan dianggarkan 7/8 daripada
penyakit-penyakit kronik hari ini disebabkan psora. Daripada hasil
penyelidikan beliau, Hahnemann mendapati simptom-simptom yang
terkumpul itu menepati dengan penawar
Sulphur
dan beberapa penawar lain.
 |