|

FALSAFAH PERUBATAN
HOMEOPATI DR. BURHANUDDIN AL-HELMY
KATA PENYUNTING ASAL
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi
Allah dan sembah salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad serta
keluarga dan para sahabatnya. Saya merasa bersyukur kerana telah dapat
melaksanakan satu usaha untuk mengabadikan kepada pembaca-pembaca satu
lagi buah tangan Allahyarham Prof. Dr. Burhanuddin Al-Helmy, pelopor
yang telah memperkenalkan dan memperketengahkan perubatan
homeopathy ke rantau Malaysia dan Singapura.
“Falsafah
Perubatan Homeopathy” yang disusun dalam bentuk siri kuliah ini
telah ditulis oleh Allahyarham semasa beliau menjalani tahanan politik
di Pulau
St. Johns,
Singapura pada tahun 1950. Di dalam suasana merengkok dalam tahanan
yang serba menekan dan kekurangan ketika itu, beliau masih sanggup
menghasilkan penulisan kerana memenuhi usaha murninya untuk terus
menyebarkan perubatan homeopathy di kalangan masyarakat
Malaysia dan Singapura. Naskah asal telah ditulis di dalam tulisan
jawi dan beberapa naskah itu masih ada di dalam simpanan saya.
Saya menginsafi
bahawa ilmu kesarjanaan yang berupa milik bangsa Melayu belum begitu
banyak, terutama dalam ilmu perubatan. Saya juga menyedari bahawa
tulisan Allahyarham adalah merupakan satu-satunya khazanah yang amat
bernilai. Di atas keinsafan dan kesedaran itulah maka saya dengan
sedaya upaya telah menyemak, menyususn kembali serta menambah beberapa
tajuk yang belum tersentuh oleh beliau supaya menjadikan
perbincangannya lebih meliputi untuk dipersembahkan semula kepada
tatapan masyarakat yang berminat. Dalam usaha menyusun, menyunting
serta menambah isi kandungan ini, saya telah mengekalkan tujuan
penulisan oleh Allahyarham yang cuba memperkenalkan dan mempermudahkan
kefahaman ke atas falsafah homeopathy khususnya untuk
pelajar-pelajar yang mengikuti kuliah perubatan homeopathy. Di
samping pelajar-pelajar perubatan, buku ini juga ditujukan kepada
kesemua penyokong-penyokong homeopathy yang ingin memperdalami
pengertian dan kefahaman mereka mengenai perubatan homeopathy
yang meletakkannya sebagai satu sistem perubatan dan rawatan yang unik
dan tersendiri – yang berlainan daripada falsafah perubatan
tradisional maupun perubatan orthodox (allopathic).
Sama-samalah kita
memohon taufiq dan hidayah dari Allah semoga sumbangan Allahyarham
Prof. Dr. Burhanuddin Al-Helmy ini diberkati Allah dalam usaha memaju
dan meningkatkan lagi penerimaan perubatan homeopathy di rantau
ini.
Akhir kata, ingin
saya rakamkan terima kasih saya khususnya kepada Puan Hamidah Hamid,
seorang pendokong homeopathy, yang telah menaip semula daripada
naskah tulisan jawi kepada susunan yang terdapat ini, dan Cik Zaharah
Rahim yang mengendalikan urusan cetakan ini. Ucapan terima kasih juga
saya sampaikan kepada semua pihak yang telah turut menyumbangkan
tenaga hingga sempurnalah usaha murni ini. Sebagai penyunting saya
memohon maaf terhadap sebarang kekurangan, kesilapan ejaan dan
sebagainya. Insya Allah segala kekurangan ini akan terus diperbaiki
dari masa ke semasa.
Penyunting,
Dr.
Md. Dali Muin, M.D. (H), Ph.D.,
Kuala Lumpur
Januari 1981
Rabi’ul Awwal
1401.
 |