|

KATA PENGANTAR
Buku
kuliah Falsafah Perubatan Homeopati adalah antara karya besar Dr.
Burhanuddin al-Helmy.
Buku ini tersimpan sangat lama di dalam tangan para pengamal homeopati
yang belajar dengan Dr. Burhanuddin dan muridnya. Ia juga telah
menjadi panduan dan rujukan kepada pengamal homeopati dalam memberikan
kuliah mereka di bilik-bilik rawatan
mahupun dalam
bentuk modul.
Sesetengah pengamal
seperti Dr. Teew Lian Eng tidak bergantung kepada isi kandungan buku
ini tetapi mengutamakan falsafah perubatan homeopati itu sendiri.
Bagaimanapun, salinan fotostat buku ini dijual juga sebagai rujukan.
Selepas setahun saya dan rakan-rakan tamat belajar asas perubatan
homeopati daripada beliau iaitu pada tahun 1991, buku ini terus berada
dalam simpanan saya. Sewaktu saya belajar daripada The British
Institute of Homoeopathy, rujukan bahasa Inggeris memberi lebih
keyakinan dan kefahaman terhadap perubatan homeopati.
Apabila saya bertemu
dengan Prof. Dr. Ramlah Adam di Melaka pada tahun 2005, saya
memaklumkan kepada beliau tentang naskhah tulisan Dr. Burhanuddin yang
saya miliki. Beliau terus menyarankan supaya saya menerbitkannya
dengan sedikit ulasan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka.. Jika tidak,
karya ini akan kehilangan daripada khazanah bangsa, khususnya
sumbangan daripada tokoh ternilai ini.
Apabila saya terfikir
untuk menerbitkannya sendiri menerusi HBI Health & Homoeopathy
Centre, saya telah membaca berkali-kali bagi memahamkan apa yang
tersirat di dalam tulisan Dr. Burhanuddin. Ini adalah kerana gaya
bahasa beliau yang klasik dan juga kerana naskhah fotostat simpanan
saya telah kabur dan ada perkataan-perkataan tertentu tertinggal atau
tidak jelas.
Sememangnya beliau
telah menulis buku ini berdasarkan buku Lectures on Homoeopathic
Philosophy tulisan Dr. J. T. Kent. Tetapi beliau juga telah
membuat beberapa penyesuaian dan memberi tokok-tambah supaya sesuai
dengan budaya tempatan dan pandangan agama serta pengalaman beliau
sendiri. Ini menjadikan buku ini mempunyai nilai yang tersendiri
walaupun agak sukar bagi pembaca dari kalangan bukan pelajar homeopati
memahaminya.
Bagi tujuan memberi
kefahaman kepada pembaca terhadap isi kandungan buku ini, saya telah
membuat sinopsis sebagaimana yang dirakamkan di dalam bahagian
awal buku ini. Saya harap usaha ini dapat membantu sekalian pembaca
generasi baru, sama ada mereka merupakan pelajar homeopati ataupun
semata-mata membaca bagi tujuan memperkaya ilmu perubatan homeopati
atau menikmati tulisan dari tokoh tanah air ini.
Selain itu, saya
tidak membuat apa-apa perubahan yang besar ke atas manuskrip asal
kecuali sedikit tanda baca, pembahagian perenggan dan tambahan ayat
yang saya masukkan dalam bentuk kurungan (). Itupun saya masukkan bagi
tujuan memudahkan kefahaman maksud ayat yang ditulis di dalam naskhah
ini. Seperti pesanan Prof. Dr. Ramlah Adam, kita harus berusaha
mengekalkan karya agung ini sebagaimana adanya.
Akhir sekali, oleh
kerana saya ingin mempercepatkan penerbitan buku ini, saya telah
menggunakan nama tajuk buku yang telah saya daftarkan ISBNnya pada
tahun 2003. Buku itu pada asalnya ialah untuk menerbitkan nota kuliah
Falsafah Perubatan Homeopati yang saya siapkan untuk kursus online
Malaysia Homoeopathy Virtual Institute. Justeru buku ini dinamakan Pengantar Falsafah Perubatan
Homeopati.
Semoga pembaca semua
mendapat rahmat Ilahi, serta usaha ini menjadi penyebar ilmu yang
bermanfaat dan membawa barakah kepada semua pembaca. Was salam.
Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.
Banting, Selangor.
17 Nov. 2010 Masehi.
10 Zulhijjah 1431 Hijrah.
 |